Sunday, March 8, 2009
maulidurrasul
Sambutan ini dilakukan semata-mata menyatakan rasa kasih dan cinta umat Islam kepada baginda Rasul S.A.W. Ia tidak ada dalam nas. Tetapi hendaklah diingat apabila kita membuat sesuatu perkara yang baik dan ia diikuti oleh semua orang, nescaya ia akan mendapat ganjaran kebaikan juga. Ini bersandarkan kepada hadith Nabi:
“Barangsiapa yang melakukan sesuatu yang baik, maka akan diberi ganjaran, bukan sahaja kepada yang mencetuskan kebaikan itu, tetapi kepada yang mengikut kebaikan itu”.
Walau bagaimanapun, berbagai-bagai pandangan orang tentang sambutan maulud ini, sehingga ada yang mengatakan sebagai bidaah. Golongan ini sentiasa mengatakan itu bidaah, ini bidaah, tetapi menutup mata tentang perkara-perkara yang sahih bidaahnya. Perbuatan menonggang arak, bersekedudukan, berzina, buat konsert sampai enam jam tanpa henti, tidak disebut pun bidaah.
Benda baik yang dilakukan dan tidak bercanggah dengan Syariat Islam, diheboh-hebohkan sebagai bidaah. Allah berfirman:
“Barangsiapa yang melakukan perbuatan yang jahat akan ada ganjaran (balasan) jahat tanpa dikurangi sedikit pun, dan pengikutnya akan mendapat sama.”
Tujuan mengadakan maulud ini, kalau niat baik baginya pahala oleh Allah S.W.T. disertai dengan pelaksanaan yang tidak bercanggah dengan syariat.
Niat kita ialah kita ingin buktikan cinta dan kasih kita kepada Allah S.W.T., mudah-mudahan kita dapat mempertingkatkan keimanan kita. Dengan program maulud ini, moga membangkitkan kesedaran umat Islam tentang pengorbanan Nabi Muhammad S.A.W. untuk mengembangkan agama Islam.
Tidak ada gunanya saban tahun kita mengadakan sambutan hari kelahiran Nabi, sedangkan apa yang disarankan oleh Nabi S.A.W. tidak diendahkan. Rasulullah mengkehendaki umatnya merujuk kepada Al Quran untuk segala urusan kehidupan, kerana Al Quran sifatnya memberi petunjuk kepada manusia dan menjelaskan perkara-perkara yang batil dan hak. Kita tidak mahu guna pakai undang-undang Allah. Sebaliknya manusia lebih berpegang kepada undang-undang ciptaan manusia.
Rasulullah S.A.W. juga mahu umatnya berpegang kepada Sunnah Nabi S.A.W. Nabi memberi arahan kalau mahu selamat dunia akhirat, hendaklah berpegang kepada Al Quran dan Sunnahnya.
Persoalannya, sejauh manakah manusia patuh kepada gesaan Nabi S.A.W. itu? Bagaimana pula balasan orang-orang yang ingkar kepada Al Quran dan Sunnah Nabi?
“Sesungguhnya pada diri Rasul itu ada teladan yang baik”
Manusia hendaklah merujuk kepada teladan Nabi dalam apa jua keadaan. Apabila soal mentadbir, soal mengurus diberi kepada orang yang tidak amanah, orang yang rasuah, pecah amanah akan berleluasa dikalangan masyarakat, untuk selamat, kembali kepada Islam dan ikut Sunnah Nabi.
“Allah sangat suka dan sayang apabila hambanya melakukan sesuatu dengan amanah dan jujur”.
Pada golongan yang tidak suka kepada Sunnah Nabi, mereka suka kepada mengikut perasaan dan nafsu mereka. Maka dari situ timbullah Islam Liberal di negara ini, dipelopori oleh kalangan yang menganggap Islam itu sama dengan agama lain (pluralisme).“ Semua agama sama, semua menuju jalan kebenaran”.
Di Malaysia, penularan fahaman Pluralisme dapat dilihat dalam kes-kes tersebut:
a) Sambutan Kongsi Raya secara bersama antara agama Islam, Hindu, Cina dan Kristian. Sekalipun telah ditegur oleh Mufti dan para Ulama’ dalam Muzakarah Ulama’ 2006 (13 Jun 2006) di Perak sebagai bertentangan dengan Islam. Namun golongan Islam Liberal menolak pandangan mufti dan ulama’-ulama’ tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot atau berfikiran tertutup.
b) Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia.
c) Ayat-ayat Al Quran perlu ditafsir semula agar selari dengan peredaran zaman.
d) Mempertikaikan Syariat Allah dan hukum-hukum Fiqh dengan hujah rasional. Antara syariat yang menurut mereka perlu dinilai semula ialah:
i. Hukum Faraid
ii. Keharusan poligami
iii. Kewajipan bertudung ke atas wanita
iv. Hukum bunuh untuk orang murtad
v. Hukum jenayah Hudud
vi. Larangan wanita daripada menjadi pemimpin termasuk di dalam solat
vii. Hak suami mencerai isteri
viii. Larangan berkahwin antara orang Islam dan bukan Islam
e) Menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama. Pada mereka undang-undang tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia.
Klimaks Islam Liberal ini, maka berbondong-bondong umat Islam keluar Islam. Allah berfirman:
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam”. (Ali Imran: 19)
Sesiapa yang mencari agama lain selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak akan menempa kerugian kerana akan dihumban ke dalam api neraka. Hadith Nabi:
“Sesiapa yang mentafsir Al Quran dengan akal fikirannya semata-mata, maka sediakanlah tempat duduknya dari api neraka”.
Tahun 1430 H (2009) adalah suatu cabaran untuk membuat anjakan paradigma antara ibu bapa dan masyarakat untuk melindungi anak-anak daripada pengaruh Islam Liberal dan Islam Pluralisme untuk kebaikan di dunia dan akhirat. Ibu bapa dan masyarakat hendaklah:
1. Memantau solat anak-anak.
2. Memantau pergaulan mereka.
3. Memeriksa beg dan pakaian mereka.
4. Memastikan sentiasa menutup aurat.
5. Memantau telefon bimbit mereka bebas daripada gambar lucah dan porno.
6. Memastikan pendidikan mereka bertauhid kepada Allah S.W.T., mengabdikan diri kepada Allah, menjauhi diri daripada apa yang dilarang.
Thursday, September 11, 2008
CINTA
Cinta. Apa itu cinta? Adakah ia hanya suatu perasaan semulajadi yang wujud dalam diri setiap manusia? Atau adakah ianya lebih dari itu?
“Dari mana punai melayang,
Dari sawah turun ke kali,
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata turun ke hati.”
Sama seperti cinta, dari mata turun ke hati. Mungkin kerana itu adanya kalimah cinta pandang pertama. Kita tidak pernah tengok orang itu, dengar suaranya mahupun mengenalinya, namun apabila kita melihatnya kita terus jatuh cinta. Tidak tidur malam kerana asyik terkenangkan si dia.
Mungkin betul kata-kata yang mengatakan cinta itu buta. Tidak kenal Antara yang realiti dan fantasi. Namun, siapalah yang patut dipersalahkan? Perasaan cinta itu memang sukar dikawal. Hendak-hendak lagi jika perasaan tersebut diiringi dengan perasaan kasih dan sayang yang amat mendalam terhadap orang yang dicintai. Sememangnya memang sukar dileraikan. Tidak hairanlah andai kata pasangannya itu orang yang paling hodoh dunia sekali pun, dia tetap mencintainya sepenuh hati. Mungkinkah itu dipanggil keunggulan cinta? Mungkin kita sendiri pernah melihat bagaimana seorang isteri sanggup menjaga suaminya yang berpenyakit kronik. Terlantar di katil sepanjang masa. Begitu juga dengan kegigihan suami menjaga si isteri yang lumpuh akibat strok. Mengapa mereka masih setia dan sanggup menjaga pasangan mereka yang sememangnya dari logik akal sudah tidak mampu lagi memberikan kebahagian kepada mereka lagi?
"Angkut-angkut terbang ke langit,
Mati disambar anak merbah,
Tertangkup bumi dengan langit,
Setia tidak akan berubah,"
Nah, sehinggakan tertangkup bumi dan langit masih mengungkapkan kata-kata setia. Mungkin itulah yang dikatakan cinta sejati. Namun, adakah cinta anak-anak muda sekarang ini benar-benar cinta sejati seperti Laila dan Majnun, atau sekadar ikut-ikutan. Mereka lihat keseronokan alam percintaan yang dipaparkan di media-media
Jika mula-mula bercinta, pelbagai kalimah cinta terkeluar. Pantun-pantun lama pun ada:
"Hidupkan api memanggang ikan,
Budak-budak balik menjala,
Hidup dan mati bersama tuan,
Tidaklah saya banyak bicara."
"Nyiur gading mayang berjurai,
Kait buah buatkan inti,
Hancur daging tulang berkecai,
Kasih tak ubah sampai ke mati."
"Dari kuala layar dilingkup,
Ombak gelombang melambung-lambung,
Dari bermula berikat hidup,
Susah dan senang sama ditanggung."
"Buluh aur jangan dibelah,
Titi dibuat ikatkan akar,
Teguh setia tidak berubah,
Janji ikrar tidak bertukar."
"Buah amra di hujung dahan,
Buah delima tutup peti,
Berapa susah sama ditahan,
Itulah nama sehidup semati."
"Buah kenari jatuh bersepah,
Beli benang di kedai jawa,
Mari kita mengangkat sumpah,
Hidup mati kita berdua."
Banyak lagi pantun-pantun lama yang berkaitan janji dan setia pasangan kekasih. Itu belum lagi dikira dengan lagu-lagu cinta. Teringat sebuah lagu Inggeris yang bermaksud: “Andaikata pilihanmu itu membawa kebahagian kepadamu, tidak mengapa, kerana kebahagiaanmu itulah yang penting. Tetapi andai si dia pernah memarahimu dan memukulmu, ingatlah akulah orang yang pertama yang akan berada di sisimu untuk menceriakanmu.” Itu namanya cinta sejati. Kita lebih mementingkan orang yang kita cintai berbanding diri kita. Walaupun orang yang kita cintai itu lebih mencintai orang lain, tetapi kita tetap menyintainya sepenuh jiwa dan raganya. Biarlah dia tidak perasan mahupun mengetahui perasaan cinta kita yang begitu mendalam terhadapnya. Cukup sekadar melihat dia tersenyum bersama pasangannya sudah cukup membahagiakan kita.
Namun kita sebagai umat Islam mestilah ingat bahawa dalam percintaan kita mestilah sentiasa menjaga batas-batas pergaulan Antara lelaki dan perempuan. Jangan sekali-kali kita mendedahkan aurat kita, mahupun menyentuh tubuh pasangan kita selagi kita masih lagi belum mempunyai ikatan yang sah, yakni perkahwinan. Ingatlah azab Allah di akhirat kelak amatlah berat. Tidak guna jika hanyut dengan nikmat kecintaan di dunia ini, namun di akhirat kelak kita diseksa sedasyat-dasyatnya oleh Allah s.w.t. Ingatlah cinta yang utama adalah cinta kepada Allah, cinta kepada rasul dan cinta kepada ibu bapa. Tiada cinta yang mengatasi ketiga-tiga cinta tersebut sepatutnya. Lagu kumpulan Saujana ada menyentuh akan hal ini:
“Cinta kepada Allah,
Cinta Rasul, Cinta ibubapa,
Cinta kepada ummah,
Cinta kepada kecemerlangan,
Mari kita semua,
Cinta 5 perkara.”
Maka cintailah seseorang itu dengan seadanya. Jangan terlalu mabuk cinta kerana kita harus ingat cinta Allah dan Rasul adalah paling utama. Begitu juga cinta ibubapa. Keseronokan hanya sementara tetapi seksaan di neraka tiada berpenghujung.
|
|
Perempuan datang atas nama cinta
Bonda pergi kerana cinta
Dikenangi ranjung cinta dalam wajahmu
Seperti bulan dalam tidur di hatimu
Yang berdinding kelam dan kedinginan
|
|
Meninggalkan hati untuk dicaci
Lalu sekali ini aku melihat sebuah karya syurga
Dari mata seorang hamba
|
|
Tapi aku pasti akan kembali dalam satu purnama
Untuk bertanyakan kembali cintanya
Bukan untuknya, bukan untuk siapa
Tapi untukku
Kerna kuinginkan, itu sahaja.
Tuesday, September 9, 2008
PENGARUH BARAT
PENDAHULUAN:
Umat Islam masa kini menghadapi pelbagai cabaran samada cabaran tersebut berpunca dari unsur dalaman mahupun dari unsur luaran. Sesetengah daripada cabaran yang dihadapi oleh umat Islam berbentuk ancaman bukan hanya ancaman kepada individualistik semata-mata tetapi ancaman kepada kebudayaan, cara hidup dan termasuk negara umat Islam itu sendiri.
Pada masa kini, cabaran atau ancaman yang paling hebat di kalangan umat Islam adalah ancaman pengaruh barat atau dengan erti kata lain ancaman kebudayaan barat. Hal ini disebabkan oleh usaha-usaha pendakyah-pendakyah kristian di dalam usaha mereka menentang dan menyesatkan umat Islam. Mereka menguar-uarkan kepada umum bahawa kebudayaan merekalah yang paling hebat, yang paling unggul dan yang paling sempurna sekali di dunia melalui kaca-kaca televisyen, dada-dada akhbar serta majalah dan tidak ketinggalan juga melalui laman-laman web yang sememangnya dibina khas oleh mereka demi mencapai matlamat mereka.
Apa pula tindakan kita? Adakah kita sebagai umat Islam hanya membisu mendiamkan diri? Atau kita hanya sekadar tidak mengambil peduli dan membiarkan sahaja diri kita, keluarga kita dan umat Islam seluruhnya terjerumus ke dalam lubang perangkap yang dibuat oleh pihak kuffar demi untuk menjatuhkan Islam, agama Allah yang suci ini.
APAKAH KEBUDAYAAN BARAT?
Secara dasarnya, setiap masyarakat yang ada di muka bumi Allah ini mempunyai kebudayaan mereka masing-masing. Kebudayaan tersebut pula ada yang didasarkan kepada kebudayaan bangsa dan ada juga yang didasarkan kepada kebudayaan agama.
Jika kita lihat dari segi kebudayaan bangsa, kebiasaannya kebudayaan tersebut menggambarkan bangsa tersebut. Contohnya jika disebut tarian zapin, sudah pasti kita akan kata itu budaya orang Melayu, tarian singa budaya masyarakat Cina dan bangra dengan pantasnya kita akan mengatakan ia adalah kebudayaan masyarakat sikh. Begitulah seterusnya. Dengan erti kata lain, budaya tersebut hanyalah sesuai dengan masyarakat tersebut. Tentu kita rasa janggal dan pelik jika kita melihat orang bernama Ah Chong yang merupakan bangsa Cina pergi kerja dengan memakai dhoti yakni pakaian tradisional masyarakat
Namun, apabila kita membicarakan tentang kebudayaan agama, ianya tiada batas perkauman dan bangsa. Dengan erti kata lain, semua bangsa boleh mengamalkan kebudayaan tersebut. Paling mudah jika kita lihat sambutan hari raya Aidilfitri yang disambut saban tahun oleh semua masyarakat yang beragama Islam. Tidak kira samada seseorang itu berbangsa Melayu,
Apabila kita menyentuh kebudayaan barat, kita harus faham makna disebalik kebudayaan barat. Kebudayaan menurut kamus dewan edisi ketiga keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud keseluruhan cara hidup (yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan, dan berfikir) serta segala hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat, tamadun, peradaban, kemajuan (akal budi). Barat pula membawa maksud negara-negara Eropah dan Amerika.
Maka jika kita menyentuh tentang kebudayaan barat, kita tidak boleh lari daripada membicarakan kebudayaan agama yang diamalkan secara majoriti di
Apakah diantara budaya-budaya barat yang dalam diam memberi ancaman kepada jati diri umat Islam? Antaranya ialah pengambilan arak, bersekedudukan, pakaian dan hari-hari perayaan.
1.
Kita sering mengatakan bahawa arak adalah budaya barat yang bertentangan dengan Islam. Kenyataannya, remaja kini juga mengamil arak dan di negara seperti Turki juga mempunyai kebiasaan minum arak dan menghisap paip. Jika kita kunjungi kota-kota besar di Turki seperti Istanbul dan Ankara, di sana kita akan menyaksikan para eksekutif muda dengan berpakaian pejabat di warung kopi pada waktu pejabat, minum raki (minuman alkohol khas Turki), menghisap paip dan main permainan backgamon. Sememangnya orang Turki memang terkenal dengan sifat pemalas.
Dari sudut sejarahnya, Eropah mengalami masa susah di abad pertengahan dahulu yang dikenali sebagai zaman gelap Eropah. Kemudian mereka berusaha membuat diri mereka sedikit tenang dengan arak. Lalu muncullah industri wine (yang merupakan sejenis arak) di Eropah yakni di bahagian selatan iaitu di Sepanyol, Itali, selatan Perancis dan
Kini amalan tersebut sudah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat mereka. Bukan sekadar untuk menenangkan fikiran, arak kini diminum hanya untuk memuaskan nafsu. Kini budaya tersebut mula menular di kalangan anak muda pewaris agama kita.
2. Bersekedudukan
Secara umum, masyarakat negara barat melakukan ini kerana faktor cukai. Cukai pendapatan di negara maju itu amatlah tinggi, kira-kira 40%. Apabila berkahwin, hasil pendapatan suami dan isteri akan diakumulasikan atau dijumlahkan sehingga jumlah cukai yang harus dibayar akan jauh meningkat. Cukai ada kadarnya, yakni semakin besar jumlah gaji yang diterima, bererti semakin besar cukai yang harus dibayar. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan mereka lebih rela bersekedudukan tanpa ada ikatan yang sah.
Alasan lainnya, mereka masih menganggap pernikahan sebagai suatu kongkongan. Jika mereka berkahwin, mereka terpaksa mematuhi perjanjian yang dibuat. Maka mereka terpaksa melupakan cara hidup sosial kerana tidak mahu curang kepada pasangan masi-masing. Mereka lebih suka hidup bersama dulu baru berkahwin, kononnya tidak mahu asyik kahwin-cerai. Tidak hairanlah jika kita lihat ada yang sudah beranak dua, dan kedua-duanya sudah bersekolah, barulah pasangan tersebut berkahwin.
Namun ada juga yang melakukannya sekadar ingin merasa dan untuk memuaskan hawa nafsu, terutamanya dikalangan remaja. Jika kita mengambil negara Amerika Syarikat sebagai contoh, remaja di
Kita harus berwaspada kerana budaya tersebut juga mula menular di kalangan negara-negara Islam. Terdapat segelintir umat Islam sudah terpengaruh dengan budaya tersebut. Bukan disebabkan cukai yang tinggi, tetapi sekadar suka-suka untuk memuaskan nafsu masing-masing. Tahun 2007 kecoh di Malaysia apabila seorang pensyarah Universiti Kebangssaan Malaysia mendedahkan bahawa 71 orang daripada 72 orang pelajar perempuan sekolah menengah di Selangor pernah melalui pengalaman seks. Perkara ini mendapat perhatian ramai dan hangat diperdebatkan baik di warung-warung kopi hinggalah ke dewan parlimen. Namun selepas seketika isu tersebut terus senyap sunyi tanpa sebarang bicara seolah-olah isu tersebut sudah diselesaikan.
3. Pakaian
Dari segi pemakaian pula, memang sudah menjadi kebiasaan warga barat berpakaian ringkas terutamanya ketika musim panas. Mereka sama sekali tidak memikirkan bahawa pakaian mereka itu seksi dan menggoda, yang penting mereka tidak kepanasan pada musim tersebut. Apabila kita menyentuh tentang pakaian, kita tidak dapat memikirkan aspek seni paling dekat secara fizik mahupun psikologi dengan diri kita melainkan seni busana.
Hal ini turut diakui Titus Burckhardt dalam The Art of Islam:
Tidak ada seni yang memiliki kesan lebih besar terhadap jiwa manusia dibandingkan seni busana, kerana seseorang secara naluriah mengidentifikasikan dirinya dengan busana yang ia pakai.
Maka jika barat dengan bantuan pengganas-pengganas seninya yang bertebaran ini mahu menghancurkan seni busana Islam, mereka hanya perlu menyerang rasa malu. Apabila manusia menanggalkan rasa malu dari tubuh dengan sendirinya iman juga akan ditanggalkan. Budaya malu memang tiada pada busana yang dikenakan oleh Barat. Burckhardt malah menuliskan:
Busana Barat mengajarkan manusia supaya berpaling dari kehidupan yang seluruhnya dikuasai oleh nilai-nilai kontemplatif yang menuju secara mutlak ke arah akhirat.
Busana tradisional Islam memang berbeza-beza menurut wilayah dan rantau, tetapi persamaannya jelas, iaitu: ayat-ayat Tuhan. Ini kerana tubuh seorang manusia yang mengaku Islam merupakan ayat-ayat Allah, justeru apabila seorang muslim baik lelaki atau wanita memilih untuk menutup tubuhnya, dia memilih untuk menjadikan anggota-anggota tubuhnya dari mata orang kebanyakan seperti emas. Ditutup dan dirahsiakan. Bukan mendedahkannya sewenang-wenang.
Hal ini mungkin kelihatan simplistik buat sesetengah insan yang memang sudah dipengaruhi oleh nafsu dan memang sudah dicemari jiwa mereka dengan bom perang budaya. Tetapi jika kita menilik sejarah, hal ini bukanlah suatu yang boleh diambil ringan. Jangan kita melupakan Kamal Attaturk mahupun Mao Tse Dong yang menceraikan secara total masa lalunya untuk membentuk masa baru yang diingini iaitu dengan mengubah tata busana masyarakatnya dan menuntut supaya kepercayaan silam mereka dirombak sama sekali.
Dengan menghilangkan budaya malu pada tata cara berpakaian, kita melihat perlahan-lahan manusia juga kehilangan iman dan kepercayaan terhadap keesaan Tuhan. Tidak hairanlah ada hadis menyebutkan, "Barang siapa meniru sesuatu kaum, ia termasuk dalam kaum tersebut."
Kecelakaan dan malapetaka ini membawa manusia Islam kepada satu hal yang lebih
Perkara ini jelas menunjukkan bahawa agenda puak kuffar untuk mempengaruhi umat Islam telah berjaya. Mereka sentiasa menyatakan pakaian-pakaian yang terdedah di sana-sini menunjukkan keberanian dan ketegasan. Jika memakai pakaian yang tertutup seperti yang dianjurkan oleh Islam, dikatakannya kolot dan ketinggalan zaman. Itulah yang dinyanyikan oleh media
4. Hari perayaan
Lagi satu contoh kebudayaan barat yang semakin menjadi ikut-ikutan umat Islam pada zaman millineum ini adalah dari segi perayaan. Perayaan yang paling nyata, yang turut disambut oleh umat Islam seluruh dunia secara besar-besaran adalah sambutan tahun baru masihi. Kita sebagai umat Islam haruslah sedar bahawa samutan tahun baru masihi yang dirai itu pada asalnya menyambut ulang tahun kelahiran Jesus Christ yakni mengikut kepercayaan Kristian adalah salah satu tuhan mereka di dalam sistem trinity.
Memang ada pihak yang mengatakan Jesus Christ itu adalah Nabi Isa a.s. maka tidak salah jika kita turut meraikan kelahiran baginda. Akan tetapi kita harus ingat seperkara lagi, adakah kita perlu menyambut kelahiran Nabi Allah dengan percikan bunga api, konsert-konsert yang dipenuhi dengan unsur-unsur maksiat, majlis tari-menari dan di kelab-kelab malam seperti mana yang diamalkan masyarakat barat? Seeloknya kita sambutnya dengan mengadakan majlis-majlis ilmu dan majlis-masjlis zikir di surau-surau dan di masjid-masjid. Berapa ramai masyarakat Islam sekarang yang tersungkur kemabukan ketika pulang dari sambutan tahuinb baru? Perkara tersebut seolah-olah menjadi perkara biasa apabila tahun baru disambut.
CARA-CARA MENGATASI PENGARUH BARAT
Jika kita ingin mengatasi pengaruh barat yang semakin menular dikalangan masyarakat Islam sekarang, maka beberapa tindakan yang komprehensif perlu diambil. Pertama sekali adalah penanaman dan pengukuhan nilai-nilai Islam di dalam jati diri umat Islam. Hal ini adalah amat penting kerana di dalam masyarakat Islam menongkah arus globalisasi pada masa kini jati diri dan pegangan umat Islam terhadap syariat Islam perlulah kuat dan mantap. Perkara ini perlulah dilaksanakan tatkala anak-anak masih lagi kecil bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Hal ini disebabkan merekalah pewaris agama yang suci ini dan perlu bagi mereka memahami dan mencintai Islam semenjak mereka masih lagi kecil. Jangan ditunggu sehingga mereka menjadi buluh baru hendak mantapkan mereka dengan ajaran Islam, maka ia akan menjadi sia-sia.
Seterusnya, gerakan dakwah perlulah dipertingkatkan lagi.
Salah satu sebabnya adalah mungkin kerana anak-anak muda ini merasakan kehidupan menurut pandangan Islam itu terlalu mengongkong dan menyekat kebebasan mereka. Gambaran yang mereka dapati tentang kehidupan Islam dalam bentuk ceramah, syarahan agama dan buku-buku, mahupun brosur dan risalah amatlah membosankan dan tidak menarik sama sekali. Mereka merasakan apa yang diperkatakan dalam syarahan atau ceramah adalah kebanyakannya dalam bentuk larangan-larangan termasuk cara berpakaian, pemakanan, persekitaran serta balasan terhadap perbuatan-perbuatan yang melanggar agama.
Namun hakikatnya agama Islam itu bukan setakat peraturan mahupun larangan, malahan perkara yang dibolehkan sebenarnya lebih banyak dari yang diharamkan. Perkara inilah yang sepatutnya ditekankan oleh para cendekiawan Islam dan ulama, dan bukannya menakut-nakutkan belia Islam. Golongan muda mudah terpengaruh dengan persekitaran mereka. Kita perlulah memberikan penjelasan dan kefahaman sebenar tentang agama Islam agar umat Islam tidak tergelincir dalam kehidupan.
Ilmu Islam pula harus diajar sedemikian rupa agar ia tidak kelihatan 'kolot' oleh anak muda. Terangkan pada mereka jika mereka suka berfesyen, mereka boleh teruskan asalkan menutup aurat dan fahamkan pengertian aurat itu bagi lelaki dan perempuan. Terangkan juga agama Islam tidak melarang berkawan antara lelaki dan perempuan namun hendaklah dijaga batas-batas pergaulannya contohnya tidak boleh berdua-duan dengan yang bukan muhrim mahupun bersentuh-sentuhan.
Dari situ mereka akan faham bahawa agama Islam tidak melarang sama sekali apa yang mereka gemar lakukan, namun terdapat peraturan-peraturan yang mesti dikuti. Ini adalah kerana agama Islam itu sendiri adalah agama fitrah. Fitrah manusia sukakan keindahan dan kecantikan , kehidupan yang selesa di dunia, harta kekayaan, kenderaan mewah, perhiasan dan berpasang-pasangan.
Cabaran agar ajaran agama Islam dapat disampaikan kepada semua lebih penting di masa sekarang di mana anak muda kita ramai yang sudah terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat seperti merempit, menghisap ganja, maksiat, juga murtad . Mereka ini seolah-olah hanyut di dunia mereka sendiri tanpa memperdulikan batasan-batasan agama. Kita tidak boleh menyalahkan mereka seratus peratus.
Adakah kita juga melakukan sedemikian di masjid-masjid? Sudah pasti ramai orang terutama golongan muda yang akan dapat ditarik ke masjid jika kita melakukan sedemikian. Khutbah-khutbah juga seringkali tidak mampu menarik perhatian ramai. Para cendekiawan Islam dan golongan ulama beserta dengan para pemimpin masyarakat juga disaran turun
KESIMPULAN
Jika dilihat sekarang bermacam-macam bencana alam yang berlaku di sekeliling kita. Cuaca dunia telah menjadi semakin tidak menentu. Apabila maksiat dan gejala sosial yang disebabkan oleh pengaruh barat tidak terbendung maka akan datang bala Allah seperti banjir besar, wabak penyakit menular dan terkini kemarau berpunca daripada El-Nino. Apabila bencana berlaku, ia akan meliputi semua makhluk sama ada yang beriman atau tidak; inilah iktibar yang didapati pada zaman beberapa Nabi seperti Nuh, Hud dan Musa.
Oleh itu umat Islam perlulah merenungkan bahawa segala ujian dan dugaan ini adalah merupakan peringatan kepada manusia yang berterusan melakukan dosa dengan mengabaikan perintah Allah. Maka umat Islam perlulah berganding bahu berpegang tangan untuk memastikan penularan pengaruh barat yang merosakkan jati diri umat Islam pada masa kini dapat dibanteras sama sekali menyelamatkan diri kita dan generasi umat Islam pada masa akan datang.
MERDEKAKAH KITA?
MERDEKAKAH KITA?
31 Ogos menjelma lagi dan seperti biasa laungan kemerdekaan oleh Tuanku Abdul Rahman akan sentiasa berkumandang di mana-mana sahaja. Semuanya bagaikan pesta. Lagu-lagu koleksi Allahyarham Sudirman juga tidak ketinggalan. Iramanya memang segar dan ceria. Diskusi-diskusi mengenai kemerdekaan juga hampir setiap hari kedengaran, baik di corong-corong radio dan televisyen mahupun di dalam akhbar-akhbar tempatan. Bagaikan mahu satu lonjakan paradigma oleh seluruh rakyat
Namun semua keghairahan tersebut pasti akan hilang setelah selesainya sambutan bulan kemerdekaan pada 16 September nanti. Semua kata-kata yang berkobar-kobar tadi akan hilang ibarat kabus yang hilang apabila Sang Mentari Pagi menunjukkan diri. Menunggu tempoh matangnya semula iaitu 31 Ogos tahun berikutnya. Begitulah yang terjadi saban tahun di bumi bertuah,
Apakah itu kemerdekaan? Adakah kebebasan, kelepasan dan hak asasi atau keadaan merdeka atau bebas atau mungkinkah perihal merdeka (bebas) ? Maka istilah kemerdekaan digunakan untuk membezakan dengan penaklukan yang merujuk kepada sesuatu kawasan sebagai wilayah yang dikawal oleh sebuah kerajaan luaran dari segi politik dan tentera. Perkataan ini kekadang juga digunakan dalam erti kata yang lebih lemah untuk membezakan dengan hegemoni yang merupakan kawalan sebuah negara secara tidak langsung oleh sebuah negara yang lebih kuat. Kemerdekaan juga boleh merupakan taraf permulaan bagi sesebuah negara baru muncul tetapi sering merupakan pembebasan daripada kuasa yang mendominasi kawasan itu. Dari segi negatif, kemerdekaan juga boleh ditakrifkan sebagai keadaan yang tidak dikuasai oleh mana-mana kuasa yang lain samada melalui penjajahan, dasar peluasan kuasa atau imperialisme. Walau apa-apa pun maksudnya, setiap daripada kita mempunyai interprestasi tersendiri mengenai erti kemerdekaan tersebut. Persoalannya, bagaimanakah kita mengimplimentasikan erti kemerdekaan tersebut di dalam diri dan dalam kehidupan kita seharian?
Persoalannya, apakah rakyat
Masalah yang dihadapi oleh negara kita begitu banyak, termasuk korupsi, kesenjangan pendapatan, kebebasan demokrasi, nepotisme dan hutang-puitang para konglomerat, sehingga boleh membinggungkan para pemimpin. Mungkin pantun klasik yang dikaryakan oleh seorang tokoh pejuang kemerdekaan, Dr Burhanudin al-Helmi dapat memberikan erti kemerdekaan.
“Di atas robohan
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu-padulah segenap baka
Membela hak keadilan pusaka”
Jika kita lihat, masalah keruntuhan moral masyarakat, baik muda mahupun yang tua, terus berlaku seperti tidak boleh dibendung lagi. Sudah lali barangkali telinga ini mendengar segala cerita tentang kejadian-kejadian yang berlaku pada malam merdeka dan juga setelah sambutan kemerdekaan. Kelapa ditebuk tupailah, pembunuhanlah, sumbang mahramlah dan pelbagai lagi kes-kes yang memeritkan hati dan jiwa kita sebagai penduduk bumi bertuah ini.
Heboh satu negara dengan slogan “Malaysia Boleh!”, “Keranamu Malaysia”, “Melayu Glokal” dan sebagainya yang bertujuan untuk meningkatkan jati diri anak bangsa Malaysia yang kian rosak dimamah kemajuan. Kejayaan angkasawan
Kempen budi bahasa? Macam manalah mahu berjaya kalau pimpinan atasan pun tidak menunjukkannya dalam kehidupan harian mereka. Terang-terang di dalam dada-dada akhbar tempatan perkataan-perkataan seperti bodoh, pergi jahanam, digunakan oleh beberapa orang menteri untuk mempertahankan tindakan mereka. Isu persembahan kumpulan Pussy Cat Dolls yang berpakaian begitu mengghairahkan ternyata bertentangan dengan kempen yang dijalankan tersebut. Penatlah mantan Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Dato’ Seri Rais Yatim menguar-uarkannya.
Jadi lihatlah. Adakah kita benar-benar merdeka? Sesiapa yang rajin membaca akhbar tentu sedih dengan keadaan anak remaja sekarang. Terpengaruh dengan budaya Black Metal, Skin Head dan baru-baru ini, Gothic pula yang menjadi pujaan remaja. Berpakaian serba hitam tidak kira malam atau pada terik panas matahari dan memuja kematian. Jawabnya makin banyaklah para remaja kita akan terjatuh ke lembah fatamorgana keseronokan yang songsang yang akan memakan diri mereka sendiri. Secara sedar atau tidak, kita dapat melihat dengan cara serta tahap pemikiran yang ada pada generasi sekarang ini. Memang tidak dapat dinafikan negara kita semakin maju dan kehadapan, syabas diucapkan, tetapi nilai murni serta keluhuran budi bahasa juga perlu selaras bersama kemajuan bagi menjana keutuhan moral kepada generasi muda sekarang yang perlu disemai kepada generasi sekarang.
Anak-anak bangsa kita terutamanya anak-anak Melayu makin malas berfikir. Semuanya mahu disuap saja. Bayangkanlah, sudah tingkatan
Jika kita lihat kembali sejarah di ambang kemerdekaan negara kita pasti dapat dilihat kesungguhan tokoh-tokoh kemerdekaan dalam memperjuangkan kemerdekaan negara. Itu pun jika dihayati. Bermula dengan tentangan terhadap Malayan Union. Serentak dengan itu wujudnya United Malays NationalOrganization (UMNO) yang mengumpulkan semua persatuan dan bangsa Melayu buat pertama kalinya. Dato’ Onn Ja’afar dilantik menjadi presiden. Akhirnya British tunduk juga pada penentangan orang Melayu walaupun setelah dua tahun. Terima kasih kepada Sir Malcolm MacDonald, Edward Gents, L.D Gammans dan beberapa orang lagi pegawai British yang turut membantu menghapuskan Malayan Union. Maka pada tahun 1948 lahirlah Persekutuan Tanah Melayu.
Seterusnya ketika hampir mencapai kemerdekaan gerakan murni pra-perikatan wujud yang bertujuan untuk menyatupadukan penduduk seluruh negara yang berbilang bangsa. Selepas itu parti Perikatan yang menggabungkan UMNO dan MCA pada asalnya ditubuhkan bagi menghadapi pilihanraya peringkat persekutuan. Keputusannya Perikatan menang 51 berbalas 1. Kemudian, usaha-usaha ke arah kemerdekaan diteruskan. Rombongan Tunku Abdul Rahman ke
Seterusnya pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman mengumumkan gagasan Malaysia yang merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Pengumuman tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.
Jadi lihatlah perit getir untuk menubuhkan negara kita yang tercinta ini. Itu masih belum lagi disentuh tentang Peristiwa 13 Mei 1969. Pokoknya, untuk mencapai keadaan yang selesa seperti sekarang bukanlah senang. Banyak pengorbanan perlu dilakukan untuk mencapainya. Sekarang ini, kita, bangsa Melayu masih belum lagi benar-benar merdeka. Ekonomi negara kita dimonopoli oleh bangsa Cina. Kita masih di takuk lama, menjual nasi lemak di tepi jalan. Tidak pernah
Maka dengan ini marilah kita bersama-sama memotivasikan diri sempena hari ulang tahun kemerdekaan ini. Bukan untuk sehari,bukan untuk sebulan dan bukan juga untuk setahun, tetapi untuk selama-lamanya. Oleh itu, kita semua perlu memperkemaskan diri serta minda dalam menghadapi cabaran global yang tidak bersempadan serta memperkukuhkan tonggak jati diri supaya erti kemerdekaan sebenar dapat dihayati justeru maruah negara Malaysia dapat dipelihara.Marilah kita mengimplimentasikan nilai-nilai intrisik nenek moyang kita agar kita mampu berdaya saing dengan bangsa lain disamping menjaga tatacara hidup kita sebagai masyarakat Timur yang berpegang pada ajaran Islam. Janganlah kita mempersiakan perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita. Tanpa usaha mereka maka nikmat kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini pasti tiada. Merdeka!Merdeka!Merdeka!
