Cinta. Apa itu cinta? Adakah ia hanya suatu perasaan semulajadi yang wujud dalam diri setiap manusia? Atau adakah ianya lebih dari itu?
“Dari mana punai melayang,
Dari sawah turun ke kali,
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata turun ke hati.”
Sama seperti cinta, dari mata turun ke hati. Mungkin kerana itu adanya kalimah cinta pandang pertama. Kita tidak pernah tengok orang itu, dengar suaranya mahupun mengenalinya, namun apabila kita melihatnya kita terus jatuh cinta. Tidak tidur malam kerana asyik terkenangkan si dia.
Mungkin betul kata-kata yang mengatakan cinta itu buta. Tidak kenal Antara yang realiti dan fantasi. Namun, siapalah yang patut dipersalahkan? Perasaan cinta itu memang sukar dikawal. Hendak-hendak lagi jika perasaan tersebut diiringi dengan perasaan kasih dan sayang yang amat mendalam terhadap orang yang dicintai. Sememangnya memang sukar dileraikan. Tidak hairanlah andai kata pasangannya itu orang yang paling hodoh dunia sekali pun, dia tetap mencintainya sepenuh hati. Mungkinkah itu dipanggil keunggulan cinta? Mungkin kita sendiri pernah melihat bagaimana seorang isteri sanggup menjaga suaminya yang berpenyakit kronik. Terlantar di katil sepanjang masa. Begitu juga dengan kegigihan suami menjaga si isteri yang lumpuh akibat strok. Mengapa mereka masih setia dan sanggup menjaga pasangan mereka yang sememangnya dari logik akal sudah tidak mampu lagi memberikan kebahagian kepada mereka lagi?
"Angkut-angkut terbang ke langit,
Mati disambar anak merbah,
Tertangkup bumi dengan langit,
Setia tidak akan berubah,"
Nah, sehinggakan tertangkup bumi dan langit masih mengungkapkan kata-kata setia. Mungkin itulah yang dikatakan cinta sejati. Namun, adakah cinta anak-anak muda sekarang ini benar-benar cinta sejati seperti Laila dan Majnun, atau sekadar ikut-ikutan. Mereka lihat keseronokan alam percintaan yang dipaparkan di media-media
Jika mula-mula bercinta, pelbagai kalimah cinta terkeluar. Pantun-pantun lama pun ada:
"Hidupkan api memanggang ikan,
Budak-budak balik menjala,
Hidup dan mati bersama tuan,
Tidaklah saya banyak bicara."
"Nyiur gading mayang berjurai,
Kait buah buatkan inti,
Hancur daging tulang berkecai,
Kasih tak ubah sampai ke mati."
"Dari kuala layar dilingkup,
Ombak gelombang melambung-lambung,
Dari bermula berikat hidup,
Susah dan senang sama ditanggung."
"Buluh aur jangan dibelah,
Titi dibuat ikatkan akar,
Teguh setia tidak berubah,
Janji ikrar tidak bertukar."
"Buah amra di hujung dahan,
Buah delima tutup peti,
Berapa susah sama ditahan,
Itulah nama sehidup semati."
"Buah kenari jatuh bersepah,
Beli benang di kedai jawa,
Mari kita mengangkat sumpah,
Hidup mati kita berdua."
Banyak lagi pantun-pantun lama yang berkaitan janji dan setia pasangan kekasih. Itu belum lagi dikira dengan lagu-lagu cinta. Teringat sebuah lagu Inggeris yang bermaksud: “Andaikata pilihanmu itu membawa kebahagian kepadamu, tidak mengapa, kerana kebahagiaanmu itulah yang penting. Tetapi andai si dia pernah memarahimu dan memukulmu, ingatlah akulah orang yang pertama yang akan berada di sisimu untuk menceriakanmu.” Itu namanya cinta sejati. Kita lebih mementingkan orang yang kita cintai berbanding diri kita. Walaupun orang yang kita cintai itu lebih mencintai orang lain, tetapi kita tetap menyintainya sepenuh jiwa dan raganya. Biarlah dia tidak perasan mahupun mengetahui perasaan cinta kita yang begitu mendalam terhadapnya. Cukup sekadar melihat dia tersenyum bersama pasangannya sudah cukup membahagiakan kita.
Namun kita sebagai umat Islam mestilah ingat bahawa dalam percintaan kita mestilah sentiasa menjaga batas-batas pergaulan Antara lelaki dan perempuan. Jangan sekali-kali kita mendedahkan aurat kita, mahupun menyentuh tubuh pasangan kita selagi kita masih lagi belum mempunyai ikatan yang sah, yakni perkahwinan. Ingatlah azab Allah di akhirat kelak amatlah berat. Tidak guna jika hanyut dengan nikmat kecintaan di dunia ini, namun di akhirat kelak kita diseksa sedasyat-dasyatnya oleh Allah s.w.t. Ingatlah cinta yang utama adalah cinta kepada Allah, cinta kepada rasul dan cinta kepada ibu bapa. Tiada cinta yang mengatasi ketiga-tiga cinta tersebut sepatutnya. Lagu kumpulan Saujana ada menyentuh akan hal ini:
“Cinta kepada Allah,
Cinta Rasul, Cinta ibubapa,
Cinta kepada ummah,
Cinta kepada kecemerlangan,
Mari kita semua,
Cinta 5 perkara.”
Maka cintailah seseorang itu dengan seadanya. Jangan terlalu mabuk cinta kerana kita harus ingat cinta Allah dan Rasul adalah paling utama. Begitu juga cinta ibubapa. Keseronokan hanya sementara tetapi seksaan di neraka tiada berpenghujung.
|
Perempuan datang atas nama cinta
Bonda pergi kerana cinta
Dikenangi ranjung cinta dalam wajahmu
Seperti bulan dalam tidur di hatimu
Yang berdinding kelam dan kedinginan
|
Meninggalkan hati untuk dicaci
Lalu sekali ini aku melihat sebuah karya syurga
Dari mata seorang hamba
|
Tapi aku pasti akan kembali dalam satu purnama
Untuk bertanyakan kembali cintanya
Bukan untuknya, bukan untuk siapa
Tapi untukku
Kerna kuinginkan, itu sahaja.
No comments:
Post a Comment