Loading...

AHLAN WASAHLAN

SELAMAT DATANG KE BLOG AKU, DIA DAN SAR. CUMA UNTUK BERKONGSI CERITA BAGI SIAPA YANG SUDI MEMBACA

Tuesday, September 9, 2008

PENGARUH BARAT

PENDAHULUAN:

Umat Islam masa kini menghadapi pelbagai cabaran samada cabaran tersebut berpunca dari unsur dalaman mahupun dari unsur luaran. Sesetengah daripada cabaran yang dihadapi oleh umat Islam berbentuk ancaman bukan hanya ancaman kepada individualistik semata-mata tetapi ancaman kepada kebudayaan, cara hidup dan termasuk negara umat Islam itu sendiri.

Pada masa kini, cabaran atau ancaman yang paling hebat di kalangan umat Islam adalah ancaman pengaruh barat atau dengan erti kata lain ancaman kebudayaan barat. Hal ini disebabkan oleh usaha-usaha pendakyah-pendakyah kristian di dalam usaha mereka menentang dan menyesatkan umat Islam. Mereka menguar-uarkan kepada umum bahawa kebudayaan merekalah yang paling hebat, yang paling unggul dan yang paling sempurna sekali di dunia melalui kaca-kaca televisyen, dada-dada akhbar serta majalah dan tidak ketinggalan juga melalui laman-laman web yang sememangnya dibina khas oleh mereka demi mencapai matlamat mereka.

Apa pula tindakan kita? Adakah kita sebagai umat Islam hanya membisu mendiamkan diri? Atau kita hanya sekadar tidak mengambil peduli dan membiarkan sahaja diri kita, keluarga kita dan umat Islam seluruhnya terjerumus ke dalam lubang perangkap yang dibuat oleh pihak kuffar demi untuk menjatuhkan Islam, agama Allah yang suci ini.


APAKAH KEBUDAYAAN BARAT?

Secara dasarnya, setiap masyarakat yang ada di muka bumi Allah ini mempunyai kebudayaan mereka masing-masing. Kebudayaan tersebut pula ada yang didasarkan kepada kebudayaan bangsa dan ada juga yang didasarkan kepada kebudayaan agama.

Jika kita lihat dari segi kebudayaan bangsa, kebiasaannya kebudayaan tersebut menggambarkan bangsa tersebut. Contohnya jika disebut tarian zapin, sudah pasti kita akan kata itu budaya orang Melayu, tarian singa budaya masyarakat Cina dan bangra dengan pantasnya kita akan mengatakan ia adalah kebudayaan masyarakat sikh. Begitulah seterusnya. Dengan erti kata lain, budaya tersebut hanyalah sesuai dengan masyarakat tersebut. Tentu kita rasa janggal dan pelik jika kita melihat orang bernama Ah Chong yang merupakan bangsa Cina pergi kerja dengan memakai dhoti yakni pakaian tradisional masyarakat India.

Namun, apabila kita membicarakan tentang kebudayaan agama, ianya tiada batas perkauman dan bangsa. Dengan erti kata lain, semua bangsa boleh mengamalkan kebudayaan tersebut. Paling mudah jika kita lihat sambutan hari raya Aidilfitri yang disambut saban tahun oleh semua masyarakat yang beragama Islam. Tidak kira samada seseorang itu berbangsa Melayu, Cina , India hatta Yahudi sekalipun, asalkan mereka beragama Islam, mereka turut meraikan perayaan tersebut. Begitu juga dengan agama-agama yang lain. Maka itu, perayaan sesuatu agama itu hanya disambut oleh penganut agama tersebut. Islam juga melarang dengan keras umatnya mengamalkan kebudayaan mahupun menyambut perayaan agama lain.

Apabila kita menyentuh kebudayaan barat, kita harus faham makna disebalik kebudayaan barat. Kebudayaan menurut kamus dewan edisi ketiga keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud keseluruhan cara hidup (yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan, dan berfikir) serta segala hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat, tamadun, peradaban, kemajuan (akal budi). Barat pula membawa maksud negara-negara Eropah dan Amerika.

Maka jika kita menyentuh tentang kebudayaan barat, kita tidak boleh lari daripada membicarakan kebudayaan agama yang diamalkan secara majoriti di sana yakni agama Kristian. Hal ini disebabkan kebanyakan budaya barat dipengaruhi dengan amalan dan kepercayaan agama Kristian. Paling mudah jika kita lihat perayaan April Fool yang disambut pada 1 April saban tahun oleh masyarakat barat dikatakan sempena menyambut ketiadaan malaikat yang mencatat dosa kerana pada hari tersebut mereka percaya malaikat bercuti. Walaupun memang terdapat budaya mereka yang bagus seperti rajin bekerja, budaya bertegur sapa dan mesra serta mengambil berat dan bertanya khabar walaupun pada mereka yang tidak dikenali, mengambil berat untuk mengucapkan perkataan tolong dan terima kasih serta menjaga kebersihan dengan tidak suka membuang sampah merata-rata, namun masih lagi banyak budaya mereka yang berentang dengan lunas-lunas Islam.

CONTOH-CONTOH KEBUDAYAAN BARAT DAN KESANNYA KEPADA UMAT ISLAM

Apakah diantara budaya-budaya barat yang dalam diam memberi ancaman kepada jati diri umat Islam? Antaranya ialah pengambilan arak, bersekedudukan, pakaian dan hari-hari perayaan.

1. Arak

Kita sering mengatakan bahawa arak adalah budaya barat yang bertentangan dengan Islam. Kenyataannya, remaja kini juga mengamil arak dan di negara seperti Turki juga mempunyai kebiasaan minum arak dan menghisap paip. Jika kita kunjungi kota-kota besar di Turki seperti Istanbul dan Ankara, di sana kita akan menyaksikan para eksekutif muda dengan berpakaian pejabat di warung kopi pada waktu pejabat, minum raki (minuman alkohol khas Turki), menghisap paip dan main permainan backgamon. Sememangnya orang Turki memang terkenal dengan sifat pemalas.

Dari sudut sejarahnya, Eropah mengalami masa susah di abad pertengahan dahulu yang dikenali sebagai zaman gelap Eropah. Kemudian mereka berusaha membuat diri mereka sedikit tenang dengan arak. Lalu muncullah industri wine (yang merupakan sejenis arak) di Eropah yakni di bahagian selatan iaitu di Sepanyol, Itali, selatan Perancis dan Portugal dan juga industri bir di Eropah yakni di bahagian utara kerana anggur tidak tumbuh subur di utara Eropah.

Kini amalan tersebut sudah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat mereka. Bukan sekadar untuk menenangkan fikiran, arak kini diminum hanya untuk memuaskan nafsu. Kini budaya tersebut mula menular di kalangan anak muda pewaris agama kita. Arak semakin senang didapati. Kini terdapat kedai-kedai serbaneka dan stesyen-stesyen minyak yang eroperasi 24 jam menjual arak di premis mereka. Ini akan mengundang perasaan ingin mencuba di kalangan remaja Islam. Kita harus ingat sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Setiap minuman yang memabukkan adalah haram.”

2. Bersekedudukan

Secara umum, masyarakat negara barat melakukan ini kerana faktor cukai. Cukai pendapatan di negara maju itu amatlah tinggi, kira-kira 40%. Apabila berkahwin, hasil pendapatan suami dan isteri akan diakumulasikan atau dijumlahkan sehingga jumlah cukai yang harus dibayar akan jauh meningkat. Cukai ada kadarnya, yakni semakin besar jumlah gaji yang diterima, bererti semakin besar cukai yang harus dibayar. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan mereka lebih rela bersekedudukan tanpa ada ikatan yang sah.

Alasan lainnya, mereka masih menganggap pernikahan sebagai suatu kongkongan. Jika mereka berkahwin, mereka terpaksa mematuhi perjanjian yang dibuat. Maka mereka terpaksa melupakan cara hidup sosial kerana tidak mahu curang kepada pasangan masi-masing. Mereka lebih suka hidup bersama dulu baru berkahwin, kononnya tidak mahu asyik kahwin-cerai. Tidak hairanlah jika kita lihat ada yang sudah beranak dua, dan kedua-duanya sudah bersekolah, barulah pasangan tersebut berkahwin.

Namun ada juga yang melakukannya sekadar ingin merasa dan untuk memuaskan hawa nafsu, terutamanya dikalangan remaja. Jika kita mengambil negara Amerika Syarikat sebagai contoh, remaja di sana akan merasa malu jika mereka sudah berumur 17 tahun tetapi masih lagi belum pernah melakukan hubungan kelamin. Rata-rata mereka telah mempunyai pengalaman kelamin sejak berumur 15 tahun lagi.

Kita harus berwaspada kerana budaya tersebut juga mula menular di kalangan negara-negara Islam. Terdapat segelintir umat Islam sudah terpengaruh dengan budaya tersebut. Bukan disebabkan cukai yang tinggi, tetapi sekadar suka-suka untuk memuaskan nafsu masing-masing. Tahun 2007 kecoh di Malaysia apabila seorang pensyarah Universiti Kebangssaan Malaysia mendedahkan bahawa 71 orang daripada 72 orang pelajar perempuan sekolah menengah di Selangor pernah melalui pengalaman seks. Perkara ini mendapat perhatian ramai dan hangat diperdebatkan baik di warung-warung kopi hinggalah ke dewan parlimen. Namun selepas seketika isu tersebut terus senyap sunyi tanpa sebarang bicara seolah-olah isu tersebut sudah diselesaikan.

3. Pakaian

Dari segi pemakaian pula, memang sudah menjadi kebiasaan warga barat berpakaian ringkas terutamanya ketika musim panas. Mereka sama sekali tidak memikirkan bahawa pakaian mereka itu seksi dan menggoda, yang penting mereka tidak kepanasan pada musim tersebut. Apabila kita menyentuh tentang pakaian, kita tidak dapat memikirkan aspek seni paling dekat secara fizik mahupun psikologi dengan diri kita melainkan seni busana.

Hal ini turut diakui Titus Burckhardt dalam The Art of Islam:

Tidak ada seni yang memiliki kesan lebih besar terhadap jiwa manusia dibandingkan seni busana, kerana seseorang secara naluriah mengidentifikasikan dirinya dengan busana yang ia pakai.

Maka jika barat dengan bantuan pengganas-pengganas seninya yang bertebaran ini mahu menghancurkan seni busana Islam, mereka hanya perlu menyerang rasa malu. Apabila manusia menanggalkan rasa malu dari tubuh dengan sendirinya iman juga akan ditanggalkan. Budaya malu memang tiada pada busana yang dikenakan oleh Barat. Burckhardt malah menuliskan:

Busana Barat mengajarkan manusia supaya berpaling dari kehidupan yang seluruhnya dikuasai oleh nilai-nilai kontemplatif yang menuju secara mutlak ke arah akhirat.

Busana tradisional Islam memang berbeza-beza menurut wilayah dan rantau, tetapi persamaannya jelas, iaitu: ayat-ayat Tuhan. Ini kerana tubuh seorang manusia yang mengaku Islam merupakan ayat-ayat Allah, justeru apabila seorang muslim baik lelaki atau wanita memilih untuk menutup tubuhnya, dia memilih untuk menjadikan anggota-anggota tubuhnya dari mata orang kebanyakan seperti emas. Ditutup dan dirahsiakan. Bukan mendedahkannya sewenang-wenang.

Hal ini mungkin kelihatan simplistik buat sesetengah insan yang memang sudah dipengaruhi oleh nafsu dan memang sudah dicemari jiwa mereka dengan bom perang budaya. Tetapi jika kita menilik sejarah, hal ini bukanlah suatu yang boleh diambil ringan. Jangan kita melupakan Kamal Attaturk mahupun Mao Tse Dong yang menceraikan secara total masa lalunya untuk membentuk masa baru yang diingini iaitu dengan mengubah tata busana masyarakatnya dan menuntut supaya kepercayaan silam mereka dirombak sama sekali.

Dengan menghilangkan budaya malu pada tata cara berpakaian, kita melihat perlahan-lahan manusia juga kehilangan iman dan kepercayaan terhadap keesaan Tuhan. Tidak hairanlah ada hadis menyebutkan, "Barang siapa meniru sesuatu kaum, ia termasuk dalam kaum tersebut."

Kecelakaan dan malapetaka ini membawa manusia Islam kepada satu hal yang lebih malang iaitu melupakan hakikat diri mereka sebagai khalifah Allah. Namun apabila umat Islam melihat seni busana barat tersebut mereka menjadi teruja dan melupakan hakikat yang mereka ini adalah khalifah Allah malah ingin mencuba apa yang dipakai oleh masyarakat barat. Ya, sememangnya kebanyakan negara Islam beriklim panas, sememangnya itu tidak dinafikan. Akan tetapi kita harus ingat bahawa Islam telah menetapkan batas-batas aurat untuk lelaki dan perempuan. Maka kita tidak boleh tidak, wajib patuh kepada syariat yang telah ditetapkan. Amat malang sekali apabila umat Islam amat rapuh apabila melihat pertunjukkan fesyen yang mencolok mata ataupun fesyen-fesyen yang ditunjukkan di majalah-majalah, mereka menjadi lebih mudah untuk mengikutinya. Namun jika melihat fesyen-fesyen yang Islamik, tidak pula mereka ingin mengikutinya.

Perkara ini jelas menunjukkan bahawa agenda puak kuffar untuk mempengaruhi umat Islam telah berjaya. Mereka sentiasa menyatakan pakaian-pakaian yang terdedah di sana-sini menunjukkan keberanian dan ketegasan. Jika memakai pakaian yang tertutup seperti yang dianjurkan oleh Islam, dikatakannya kolot dan ketinggalan zaman. Itulah yang dinyanyikan oleh media massa samaada media tempatan mahupun media barat. Maka umat Islam seolah-olah terpukau dan mengiakan apa yang diuar-uarkan itu. Maka perintah Allah ditinggalkan.

4. Hari perayaan

Lagi satu contoh kebudayaan barat yang semakin menjadi ikut-ikutan umat Islam pada zaman millineum ini adalah dari segi perayaan. Perayaan yang paling nyata, yang turut disambut oleh umat Islam seluruh dunia secara besar-besaran adalah sambutan tahun baru masihi. Kita sebagai umat Islam haruslah sedar bahawa samutan tahun baru masihi yang dirai itu pada asalnya menyambut ulang tahun kelahiran Jesus Christ yakni mengikut kepercayaan Kristian adalah salah satu tuhan mereka di dalam sistem trinity.

Memang ada pihak yang mengatakan Jesus Christ itu adalah Nabi Isa a.s. maka tidak salah jika kita turut meraikan kelahiran baginda. Akan tetapi kita harus ingat seperkara lagi, adakah kita perlu menyambut kelahiran Nabi Allah dengan percikan bunga api, konsert-konsert yang dipenuhi dengan unsur-unsur maksiat, majlis tari-menari dan di kelab-kelab malam seperti mana yang diamalkan masyarakat barat? Seeloknya kita sambutnya dengan mengadakan majlis-majlis ilmu dan majlis-masjlis zikir di surau-surau dan di masjid-masjid. Berapa ramai masyarakat Islam sekarang yang tersungkur kemabukan ketika pulang dari sambutan tahuinb baru? Perkara tersebut seolah-olah menjadi perkara biasa apabila tahun baru disambut.

CARA-CARA MENGATASI PENGARUH BARAT

Jika kita ingin mengatasi pengaruh barat yang semakin menular dikalangan masyarakat Islam sekarang, maka beberapa tindakan yang komprehensif perlu diambil. Pertama sekali adalah penanaman dan pengukuhan nilai-nilai Islam di dalam jati diri umat Islam. Hal ini adalah amat penting kerana di dalam masyarakat Islam menongkah arus globalisasi pada masa kini jati diri dan pegangan umat Islam terhadap syariat Islam perlulah kuat dan mantap. Perkara ini perlulah dilaksanakan tatkala anak-anak masih lagi kecil bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Hal ini disebabkan merekalah pewaris agama yang suci ini dan perlu bagi mereka memahami dan mencintai Islam semenjak mereka masih lagi kecil. Jangan ditunggu sehingga mereka menjadi buluh baru hendak mantapkan mereka dengan ajaran Islam, maka ia akan menjadi sia-sia.

Seterusnya, gerakan dakwah perlulah dipertingkatkan lagi. Para da’i atau pendakwah perlulah meluaskan skop dakwah mereka supaya lebih ramai pihak akan menerima dakwah yang disampaikan. Mereka juga perlu mengubah cara mereka menyampaikan dakwah. Mengapa agaknya belia Muslim sekarang agak luntur pegangan agamanya dan menganggap agama Islam itu terpisah dari kehidupan seharian? Mengapakah agama Islam itu dilihat sebagai membebankan dan hanya menyusahkan mereka? Sebaliknya mereka lebih gemar meniru budaya luar terutama budaya barat yang mereka anggap moden dan terkini. Itulah yang perlu mereka kaji

Salah satu sebabnya adalah mungkin kerana anak-anak muda ini merasakan kehidupan menurut pandangan Islam itu terlalu mengongkong dan menyekat kebebasan mereka. Gambaran yang mereka dapati tentang kehidupan Islam dalam bentuk ceramah, syarahan agama dan buku-buku, mahupun brosur dan risalah amatlah membosankan dan tidak menarik sama sekali. Mereka merasakan apa yang diperkatakan dalam syarahan atau ceramah adalah kebanyakannya dalam bentuk larangan-larangan termasuk cara berpakaian, pemakanan, persekitaran serta balasan terhadap perbuatan-perbuatan yang melanggar agama.

Namun hakikatnya agama Islam itu bukan setakat peraturan mahupun larangan, malahan perkara yang dibolehkan sebenarnya lebih banyak dari yang diharamkan. Perkara inilah yang sepatutnya ditekankan oleh para cendekiawan Islam dan ulama, dan bukannya menakut-nakutkan belia Islam. Golongan muda mudah terpengaruh dengan persekitaran mereka. Kita perlulah memberikan penjelasan dan kefahaman sebenar tentang agama Islam agar umat Islam tidak tergelincir dalam kehidupan.

Ilmu Islam pula harus diajar sedemikian rupa agar ia tidak kelihatan 'kolot' oleh anak muda. Terangkan pada mereka jika mereka suka berfesyen, mereka boleh teruskan asalkan menutup aurat dan fahamkan pengertian aurat itu bagi lelaki dan perempuan. Terangkan juga agama Islam tidak melarang berkawan antara lelaki dan perempuan namun hendaklah dijaga batas-batas pergaulannya contohnya tidak boleh berdua-duan dengan yang bukan muhrim mahupun bersentuh-sentuhan.

Dari situ mereka akan faham bahawa agama Islam tidak melarang sama sekali apa yang mereka gemar lakukan, namun terdapat peraturan-peraturan yang mesti dikuti. Ini adalah kerana agama Islam itu sendiri adalah agama fitrah. Fitrah manusia sukakan keindahan dan kecantikan , kehidupan yang selesa di dunia, harta kekayaan, kenderaan mewah, perhiasan dan berpasang-pasangan.

Cabaran agar ajaran agama Islam dapat disampaikan kepada semua lebih penting di masa sekarang di mana anak muda kita ramai yang sudah terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat seperti merempit, menghisap ganja, maksiat, juga murtad . Mereka ini seolah-olah hanyut di dunia mereka sendiri tanpa memperdulikan batasan-batasan agama. Kita tidak boleh menyalahkan mereka seratus peratus. Cuba kita perhatikan cara penyampaian kelas-kelas agama dan khutbah, masih dengan cara yang sama dua puluh tahun yang lalu tanpa ada pembaharuan mahupun mengikuti perkembangan semasa. Menjadi gambaran biasa melihat ada yang tertidur semasa kuliah agama. Berbeza dengan paderi-paderi Kristian, mereka memberi ceramah atau khutbah dengan cara yang terancang sehingga orang yakin akan kata-kata mereka. Paderi-paderi juga dikhabarkan menunggu kedatangan hadirin di pintu gereja seperti menghormati tetamu. Selesai majlis, mereka tunggu di pintu gereja dan mengucapkan selamat. Mereka suka bertanya khabar dan suka ambil tahu dan sering tawarkan pertolongan.

Adakah kita juga melakukan sedemikian di masjid-masjid? Sudah pasti ramai orang terutama golongan muda yang akan dapat ditarik ke masjid jika kita melakukan sedemikian. Khutbah-khutbah juga seringkali tidak mampu menarik perhatian ramai. Para cendekiawan Islam dan golongan ulama beserta dengan para pemimpin masyarakat juga disaran turun padang bersama-sama membantu masyarakat. Pelbagai acara perlu dirancang untuk mendekatkan masyarakat dengan kegiatan bercorak Islam. Dengan cara itu golongan muda akan melihat para cendekiawan Muslim sebagai orang yang mudah didekati dan bukan hanya sekadar memberi syarahan di masjid-masjid. Diharap dengan cara ini mereka akan lebih terbuka untuk berkongsi fikiran atau sebarang kemusyiklan dan permasalahan mereka.

KESIMPULAN

Jika dilihat sekarang bermacam-macam bencana alam yang berlaku di sekeliling kita. Cuaca dunia telah menjadi semakin tidak menentu. Apabila maksiat dan gejala sosial yang disebabkan oleh pengaruh barat tidak terbendung maka akan datang bala Allah seperti banjir besar, wabak penyakit menular dan terkini kemarau berpunca daripada El-Nino. Apabila bencana berlaku, ia akan meliputi semua makhluk sama ada yang beriman atau tidak; inilah iktibar yang didapati pada zaman beberapa Nabi seperti Nuh, Hud dan Musa.

Oleh itu umat Islam perlulah merenungkan bahawa segala ujian dan dugaan ini adalah merupakan peringatan kepada manusia yang berterusan melakukan dosa dengan mengabaikan perintah Allah. Maka umat Islam perlulah berganding bahu berpegang tangan untuk memastikan penularan pengaruh barat yang merosakkan jati diri umat Islam pada masa kini dapat dibanteras sama sekali menyelamatkan diri kita dan generasi umat Islam pada masa akan datang.

2 comments:

Ken Foong Kam Sing said...

salam tukar font boleh tak, tq

has Q said...

thanks kerana menaip tentang pengaruh barat ni :)