AHLAN WASAHLAN

SELAMAT DATANG KE BLOG AKU, DIA DAN SAR. CUMA UNTUK BERKONGSI CERITA BAGI SIAPA YANG SUDI MEMBACA

Monday, March 9, 2009

maulidurrasul

Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. disambut oleh umat Islam seluruh dunia, dan sambutan berbagai-bagai cara antara satu tempat dengan yang lain. Antaranya dengan berzanji dan marhaban, perarakan berkompang dan mengadakan ceramah agama dengan jamuan-jamuan yang besar. Ada yang menyambut sehingga empat bulan terus menerus, iaitu sehingga Jamadil Akhir.
Sambutan ini dilakukan semata-mata menyatakan rasa kasih dan cinta umat Islam kepada baginda Rasul S.A.W. Ia tidak ada dalam nas. Tetapi hendaklah diingat apabila kita membuat sesuatu perkara yang baik dan ia diikuti oleh semua orang, nescaya ia akan mendapat ganjaran kebaikan juga. Ini bersandarkan kepada hadith Nabi:
“Barangsiapa yang melakukan sesuatu yang baik, maka akan diberi ganjaran, bukan sahaja kepada yang mencetuskan kebaikan itu, tetapi kepada yang mengikut kebaikan itu”.
Walau bagaimanapun, berbagai-bagai pandangan orang tentang sambutan maulud ini, sehingga ada yang mengatakan sebagai bidaah. Golongan ini sentiasa mengatakan itu bidaah, ini bidaah, tetapi menutup mata tentang perkara-perkara yang sahih bidaahnya. Perbuatan menonggang arak, bersekedudukan, berzina, buat konsert sampai enam jam tanpa henti, tidak disebut pun bidaah.
Benda baik yang dilakukan dan tidak bercanggah dengan Syariat Islam, diheboh-hebohkan sebagai bidaah. Allah berfirman:
“Barangsiapa yang melakukan perbuatan yang jahat akan ada ganjaran (balasan) jahat tanpa dikurangi sedikit pun, dan pengikutnya akan mendapat sama.”
Tujuan mengadakan maulud ini, kalau niat baik baginya pahala oleh Allah S.W.T. disertai dengan pelaksanaan yang tidak bercanggah dengan syariat.
Niat kita ialah kita ingin buktikan cinta dan kasih kita kepada Allah S.W.T., mudah-mudahan kita dapat mempertingkatkan keimanan kita. Dengan program maulud ini, moga membangkitkan kesedaran umat Islam tentang pengorbanan Nabi Muhammad S.A.W. untuk mengembangkan agama Islam.
Tidak ada gunanya saban tahun kita mengadakan sambutan hari kelahiran Nabi, sedangkan apa yang disarankan oleh Nabi S.A.W. tidak diendahkan. Rasulullah mengkehendaki umatnya merujuk kepada Al Quran untuk segala urusan kehidupan, kerana Al Quran sifatnya memberi petunjuk kepada manusia dan menjelaskan perkara-perkara yang batil dan hak. Kita tidak mahu guna pakai undang-undang Allah. Sebaliknya manusia lebih berpegang kepada undang-undang ciptaan manusia.
Rasulullah S.A.W. juga mahu umatnya berpegang kepada Sunnah Nabi S.A.W. Nabi memberi arahan kalau mahu selamat dunia akhirat, hendaklah berpegang kepada Al Quran dan Sunnahnya.
Persoalannya, sejauh manakah manusia patuh kepada gesaan Nabi S.A.W. itu? Bagaimana pula balasan orang-orang yang ingkar kepada Al Quran dan Sunnah Nabi?
“Sesungguhnya pada diri Rasul itu ada teladan yang baik”
Manusia hendaklah merujuk kepada teladan Nabi dalam apa jua keadaan. Apabila soal mentadbir, soal mengurus diberi kepada orang yang tidak amanah, orang yang rasuah, pecah amanah akan berleluasa dikalangan masyarakat, untuk selamat, kembali kepada Islam dan ikut Sunnah Nabi.
“Allah sangat suka dan sayang apabila hambanya melakukan sesuatu dengan amanah dan jujur”.
Pada golongan yang tidak suka kepada Sunnah Nabi, mereka suka kepada mengikut perasaan dan nafsu mereka. Maka dari situ timbullah Islam Liberal di negara ini, dipelopori oleh kalangan yang menganggap Islam itu sama dengan agama lain (pluralisme).“ Semua agama sama, semua menuju jalan kebenaran”.
Di Malaysia, penularan fahaman Pluralisme dapat dilihat dalam kes-kes tersebut:
a) Sambutan Kongsi Raya secara bersama antara agama Islam, Hindu, Cina dan Kristian. Sekalipun telah ditegur oleh Mufti dan para Ulama’ dalam Muzakarah Ulama’ 2006 (13 Jun 2006) di Perak sebagai bertentangan dengan Islam. Namun golongan Islam Liberal menolak pandangan mufti dan ulama’-ulama’ tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot atau berfikiran tertutup.
b) Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia.
c) Ayat-ayat Al Quran perlu ditafsir semula agar selari dengan peredaran zaman.
d) Mempertikaikan Syariat Allah dan hukum-hukum Fiqh dengan hujah rasional. Antara syariat yang menurut mereka perlu dinilai semula ialah:
i. Hukum Faraid
ii. Keharusan poligami
iii. Kewajipan bertudung ke atas wanita
iv. Hukum bunuh untuk orang murtad
v. Hukum jenayah Hudud
vi. Larangan wanita daripada menjadi pemimpin termasuk di dalam solat
vii. Hak suami mencerai isteri
viii. Larangan berkahwin antara orang Islam dan bukan Islam

e) Menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama. Pada mereka undang-undang tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia.

Klimaks Islam Liberal ini, maka berbondong-bondong umat Islam keluar Islam. Allah berfirman:
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam”. (Ali Imran: 19)
Sesiapa yang mencari agama lain selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak akan menempa kerugian kerana akan dihumban ke dalam api neraka. Hadith Nabi:
“Sesiapa yang mentafsir Al Quran dengan akal fikirannya semata-mata, maka sediakanlah tempat duduknya dari api neraka”.
Tahun 1430 H (2009) adalah suatu cabaran untuk membuat anjakan paradigma antara ibu bapa dan masyarakat untuk melindungi anak-anak daripada pengaruh Islam Liberal dan Islam Pluralisme untuk kebaikan di dunia dan akhirat. Ibu bapa dan masyarakat hendaklah:
1. Memantau solat anak-anak.
2. Memantau pergaulan mereka.
3. Memeriksa beg dan pakaian mereka.
4. Memastikan sentiasa menutup aurat.
5. Memantau telefon bimbit mereka bebas daripada gambar lucah dan porno.
6. Memastikan pendidikan mereka bertauhid kepada Allah S.W.T., mengabdikan diri kepada Allah, menjauhi diri daripada apa yang dilarang.

No comments: